Rabu, 7 Mac 2012

Masjid Itu Gelanggang Politik…

Islam bersifat suci dan menyucikan. Jika apa-apa yang diperjuangkan oleh sesebuah parti politik (kerajaan atau pembangkang) itu benar-benar Islam, langkah itu tentunya akan menghasilkan keadaan yang lebih positif.

Namun kenapa timbulnya persoalan ‘Apakah politik telah diislamkan?’ atau ‘Islam yang telah dipolitikkan?’. Satu isu yang sangat berkait rapat dengan persoalan ini ialah kaitan antara institusi masjid dengan politik. 

Sesetengah beranggapan agama dan politik mesti dipisahkan yakni tidak boleh menggunakan khutbah dan kuliah agama sebagai platform politik. Ada pula pihak lain yang beranggapan bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan. Bukankah islam itu satu cara hidup? Itu hujah mereka.

Manakah yang benar? Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu merupakan pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya.” (Muttafaq ‘alaih). Politik adalah antara alat untuk menegakkan ubudiyyah kepada Allah swt. Lantaran itu, politik menjadi sesuatu yang bersih kerana ditunjangi dengan aqidah yang mantap, dipantau oleh syariat dan dihiasi dengan akhlak.

Sejajar dengan ini, Rasulullah dan para sahabatnya telah menjadikan masjid sebagai tempat perbincangan dan mensyuarat untuk memimpin dan mentadbir manusia. Dari mimbar masjidlah Rasulullah saw menjelaskan tanggungjawab pemimpin, peranan rakyat jelata, prinsip keadilan, susunan masyarakat, pembangunan ekonomi, pendidikan dan pelbagai urusan kepimpinan yang lain.

Namun realitinya, politik semasa dilihat sebagai sebuah gelanggang perebutan kuasa, penggunaan wang, pertelagahan antara ahli-ahli parti, pembelotan dan tipu muslihat. Menjelang pilihan raya, kita akan melihat kaedah-kaedah tidak bermoral digunakan untuk mencapai kemenangan. Cerca-mencerca sudah menjadi lumrah dalam budaya politik semasa. Jika inilah wajah politik yang ada, wajarlah masjid diselamatkan daripada ‘kekotoran’ itu.

Walaubagaimanapun, jika politik dilaksanakan dengan tepat mengikut islam, maka masjidlah tempat yang paling sesuai untuk berpolitik. Sebaliknya jika tersasar, maka sewajarnya masjid ‘diselamatkan’ daripada sebarang aktiviti politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan